Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta
menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai
syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan
supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua
keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk
seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:
"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk
mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).
Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala
bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya
dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara
yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk
ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah
swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan
Tuhannya, hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan
sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". ( Surah al-Kahfi: ayat
110).
Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan
bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang
baik hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah,
dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua
rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada
Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)).
(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’,
cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).
Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin
‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan
penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika
dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima,
sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas
itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu
pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw.
(Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut:
al-Maktabah al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).
Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya.
Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam
bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan
terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di
dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001),
m/s 215)
Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini
dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan
dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan
tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang
memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah
Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak
dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat
dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.
Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini
yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:
1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’
wa al-Mi’raj.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj
merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah
Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw
serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam
bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab.
Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan
amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu.
Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh
Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku
padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang
menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang
menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak
thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah
diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau
sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap
juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan
yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan
kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak
melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan
malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan
panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan
ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur
serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita.
(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan
ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).
2) Solat Raghaib
Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan
oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan
Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun
yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian
melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal
malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca
pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan
surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan
salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali,
kemudian membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala
alihi), kemudian sujud dan membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu
al-Malaikatu wa al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan
kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta
al-‘azizu al-a’dzam) sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan
membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala
hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi
diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun
perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekelian
dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan
ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum
keluarganya…))
(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2,
m/s 124-125).
Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta
ke atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn
Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab
berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi
mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka).
Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid
al-Majmu ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan
perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini
telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)).
Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang
solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang
hukum mengerjakan solat tersebut.
Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang
ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai
percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan
mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang
bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang
yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil
tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya
adalah terlalu banyak dan tidak terhitung.
(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah,
cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.
Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang
kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan
oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat
Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak
menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan
imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya
keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut
mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana
itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan
sunat)).
(Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149)
Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur
(kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini
adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu
Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan
yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan
ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya
perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang
awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya
(Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)
Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat
Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka
semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid
‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya
kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta
al-tabi’in..
3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap
ianya mempunyai fadhilat yang khas.
Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau
sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat
yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka
yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau
hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang
maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh
golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di
dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’
yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:
1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu
Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw
bersabda:
"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan
umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan
mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang
Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang
berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda,
timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang
berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka
sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa
empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta,
sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."
Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.
2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah
saw bersabda:
"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa
yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa
seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah
menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari
bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"
Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin
‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.
3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw
bersabda:
"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa
yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu
menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".
Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid
susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.
Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang
tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab
ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat
puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat
diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah
dan prinsip asas agama.
Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat
hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus
bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa
sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.
(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).
Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau
pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan
Rejab.
(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut:
Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).
Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam
satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan
mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai
sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau
melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw
mengenainya)).
(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).
Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain
yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar
Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau
menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat
pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.
Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini
dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada
bulan Rejab.
Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam
bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang
mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh
Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali
penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang
dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk
membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam.
Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw
dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.
Apa pun aku merasakan menjadi tanggungjawab kita untuk
menyampaikan pada yg tidak tahu..aku sendiri berpuasa di dalam bulan ini..maka
ingatlah apa yg utama di sini berkaitan sesuatu amalan..Rasulullah bersabda
bahawa sesuatu amalan itu adalah dari apa yg diniatkan.. Niat yg menjadi
peranan penting dalam kita mengamalkan apa jua ibadah kita pada Allah..jika
niat kerana ganjaran yg melimpah ruah itu..sudah pasti ganjaran penat dan letih
yang kita bakal tuai..niatlah kerana kita mencari keredhaan Allah..berpuasa,
bersedekah, menunaikan solat sunat..pohonlah untuk mendapat redha-Nya..itulah
sebaik-baik keutamaan dalam beribadah..apa jua yg kita amalkan selagi
berlandaskan hukum dan betul di sisi ayraiat maka ia adalah sah..dah diterima
amalan kita..yg penting..jangan kita tersasar dalam mencari ganjaran..
Recent Comments